Welcome to MyTopTips! (no longer active)

This is where you can share your tips, knowledge, opinion and experiences! Have Fun! Your Tips is My Top Tips!

images

Monday, June 12, 2006

3 amalan berterusan membolehkan seseorang dilabel sebagai bertakwa


ORANG yang bertakwa di bumi ini akan dibalas Allah dengan menempatkan mereka di dalam taman syurga dan di sisi mata air di dalamnya. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata air-mata air sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang yang berbuat baik.” (Surah az-Dzariyat, ayat 15-16).


Mereka bukan saja ditempatkan pada kedudukan istimewa di dalam syurga, malah lebih jauh daripada itu mereka diberikan Allah segala kenikmatan dan ketenteraman yang tiada bandingannya.

Kedudukan mereka berbeza dengan orang yang berada dalam kesengsaraan, mereka mendapat azab, seksaan dan pembakaran daripada Allah.

Kedudukan dan kenikmatan yang diperoleh orang yang bertakwa itu disebabkan kebaikan yang mereka lakukan ketika hayatnya.

Dalam surah sama, selepas ayat di atas, Allah menerangkan apakah kebaikan yang mereka lakukan ketika hayat. Kebaikan itu ialah mereka sedikit tidur pada malam, memperbanyakkan keampunan, mengeluarkan zakat dan memperbanyak sedekah.

Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Mereka sedikit tidur pada waktu malam. Dan pada akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah). Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.” (Surah az-Dzariyat, ayat 17-19).

Bagi orang bertakwa, sesungguhnya tidak ada malam yang datang kepada mereka melainkan mereka mengerjakan solat, baik pada awal malam mahupun pertengahannya. Mereka tidak tidur melainkan sebentar untuk menghilangkan kepenatan. Sekiranya, mereka terlebih tidur, hati mereka akan menyesal kerana tidak dapat melaksanakan ibadah khususiyyah kepada Allah.

Mereka juga meneliti kitab Allah dengan penuh khusyuk bagi membantu memahami Islam dengan lebih sempurna

Malah, mereka melakukan muhasabah terhadap diri, apakah kebaikan yang mereka lakukan setiap hari dan apakah larangan Allah yang dilanggari.

Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga ada kamar yang bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya. Abu Musa bertanya: Untuk siapakah semuanya itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Iaitu bagi orang yang melembutkan ucapan, memberikan makan dan sentiasa bangun malam kerana Allah, pada saat orang lain tidur nyenyak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim).

Pentingnya seseorang hamba itu memperbanyakkan ibadah ketika orang lain tidur kerana ibadah yang dilakukan ketika itu akan terhindar daripada hiruk-pikuk, kebisingan dan kesibukan manusia. Oleh itu, penumpuan hati manusia yang beribadah ketika itu akan lebih khusyuk dan terarah kepada Rabb-nya.

Dalam jagaan malam itu juga, mereka banyak memohon keampunan dengan beristighfar kepada Allah hingga waktu sahur. Mereka yang ikhlas melakukan hal sedemikian, diberikan keampunan oleh Allah.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW, dalam sabdanya: “Sesungguhnya Allah turun pada setiap malam ke langit dunia pada ketika malam tinggal sepertiga, kemudian berfirman: Adakah orang yang bertaubat, maka Aku akan terima taubatnya? Adakah orang yang memohon ampunan sehingga Aku akan berikan keampunan kepadanya? Adakah orang yang mengajukan permintaan, maka Aku akan berikan kepadanya? Sehingga terbit fajar.” (Hadis riwayat Muslim).

Sikap itu dilakukan oleh Nabi Yaakub yang berkata kepada puteranya seperti dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Aku akan memohon keampunan bagimu kepada Tuhan-Ku.” (Surah Yusuf, ayat 98). Ahli tafsir menjelaskan bahawa Nabi Yaakub melakukan permohonan itu sehingga waktu sahur.

Di samping itu, mereka adalah orang yang mengeluarkan zakat, selalu bersedekah dan menghubungkan silaturahim menerusi harta yang dimiliki. Mereka akan memberi hak sepatutnya kepada golongan yang berhak menerima habuan daripada hartanya, terutama di kalangan orang miskin.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang miskin itu bukanlah orang yang berkeliling mendatangi orang ramai, baik dia diberi satu atau dua suap, satu atau dua butir kurma, tetapi orang miskin adalah orang yang tidak mendapat sesuatu yang menjadikannya merasakan cukup dan tidak mempunyai kepandaian, maka hendaklah ada yang bersedekah kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan huraian di atas, didapati ada tiga usaha menyebabkan seseorang itu boleh dilabelkan sebagai orang bertakwa di sisi Allah.

Mereka ialah orang yang banyak berjaga malam dan sedikit tidurnya kerana beribadah kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya.

Kedua, mereka yang banyak beristighfar kepada Allah terutama pada waktu sahur.

Ketiga, mereka yang mengeluarkan zakat serta banyak pula bersedekah kepada orang miskin kerana menyedari pada hartanya ada hak orang lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home