Iqra: Panduan tangani marah dalam diri
Iqra: Panduan tangani marah dalam diri
Panduan tangani marah dalam diri
Penulis: Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
DIRIWAYATKAN daripada Abu Hurairah bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Rasulullah SAW. Katanya : “Berilah wasiat kepadaku.” Sabda Rasulullah SAW : “Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah SAW tetap bersabda : Janganlah engkau marah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat atau lambat marah.
Perasaan marah selalunya didahului perkara yang boleh mendatangkan kemarahan menyebabkan seseorang itu memberontak dan bertindak kasar.
Ada juga orang yang suka marah tidak bersebab dan pantang salah sedikit, mula naik angin serta bertindak seperti orang tidak waras.
Orang yang dalam keadaan marah mudah hilang pertimbangan dan kadang-kala perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan, lebih aneh lagi apabila perkara yang digaduhkan adalah benda remeh.
Oleh kerana besarnya bahaya marah, Rasulullah SAW melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan berani.
Sifat marah mesti dilahirkan dalam bentuk kesungguhan, kegigihan, kerja keras, semangat mengatasi orang lain dan semangat diri yang terasa tercabar.
Bagaimana mengawal marah? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, menghasilkan buku berjudul Menangani Sifat Marah yang menggarap persoalan membabitkan perasaan marah dan cara mengawalnya.
Buku Menangani Sifat Marah adalah buku ketujuh dalam siri buku motivasi beliau yang diterbitkan Telaga Biru Sdn Bhd dan dikarang bersama penulis dan pakar motivasi, Muhammad Zakaria.
Teks dalam buku ini dipermudahkan dalam bentuk nota ringkas, subtajuk dan kisah untuk memudahkan pembaca membuat rujukan dengan santai.
Buku ini juga dipenuhi gambar foto dan ilustrasi untuk memberi penjelasan serta gambaran secara praktik bahawa sifat marah mudah dikawal dan disalurkan menjadi sifat mahmudah.
Selain itu, mesej disampaikan dalam bentuk gambarajah, carta dan jadual bagi memudahkan pembaca faham dan memiliki kemahiran diri membentuk personaliti cemerlang.
Buku Menangani Sifat Marah setebal 104 muka sesuai sebagai panduan kepada semua individu dari segenap lapisan masyarakat untuk mendapatkan tips bagaimana menangani sifat marah dalam diri mereka.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home